Sejarah Sekolah

Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Said bermula hampir 29 tahun yang lalu iaitu pada awal penubuhannya pada tahun 1985.
Pada asalnya Sekolah Menengah Datuk Haji Ahmad Said diberi Nama Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Dua (SMKSD). SMKSD ditubuhkan pada 2 Januari, 1985 dengan seramai 120 orang pelajar dan 6 orang guru, seorang Penolong Kanan dan seorang Pengetua. Sebelum tahun 1985, ibu bapa yang tinggal di sekitar Sungai Dua terpaksa menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Menengah di sekitar Butterworth, Kepala Batas dan Bukit Mertajam. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan dengan pinjaman Bank Dunia telah membina sebuah sekolah menengah di kawasan Sungai Dua bagi menampung pelajar-pelajar berkenaan. SMKSD dibina di atas satu kawasan seluas lebih kurang 3.5 hektar atau 11.5 ekar. Bangunan utama terdiri daripada 3 blok bangunan, sebuah kantin, sebuah bengkel, 2 buah rumah guru dan sebuah rumah pengetua. Bilik-bilik khas juga disediakan seperti makmal sains, bilik masakan, bilik jahitan, bilik guru, perpustakaan. Sekolah ini juga memiliki sebuah padang permainan yang boleh digunakan untuk acara sukan sekolah dan permainan bola sepak.
Pengetua pertama, Encik Othman bin Bakar, merupakan seorang pentadbir dan tokoh pendidikan yang mempunyai wawasan yang jauh. Selaku nakhoda pertama, beliau telah berjaya meletakkan SMSD di atas landasan disiplin yang tinggi dengan tiupan semangat kekitaan dan kecintaan terhadap sekolah serta berjuang ke arah pencapaian kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum. Segala kejayaan dan pencapaian SMSD pada ketika itu adalah manifestasi kecemerlangan pentadbiran beliau dengan sepasukan guru- guru yang sentiasa memberi sokongan terhadap segala aktiviti yang di rancang dan dijalankan. Encik Ibrahim bin Salleh selaku penolong kanan merupakan seorang yang beribawa dan berjiwa tinggi. Mottonya” boleh”. Guru 85 terdiri daripada Encik Mansor bin Hassan, Puan Zauyah bt Md. Rani, Puan Hajjah Thaniah bt Majid dan Ustazah Noma bt Mad Amin. Sebagai peneroka masing – masing memikul tugas tambahan yang harus dilakukan oleh sesebuah keluarga yang baru berpindah rumah. Masing – masing telah memberi sumbangan yang tidak ternilai terhadap kemajuan SMSD pada masa itu.
Apabila Encik Othman bin Bakar bertukar kerana kenaikan pangkat, tempat belaiu telah di ambil alih oleh Tuan Haji Abdul Rahman b. Sahad selaku penolong kanan. Di bawah pimpinan beliau SMSD sekali lagi mencatat keputusan peperiksaan SRP yang baik pada tahun 1988. Tempat beliau diambil alih seorang penolong kanan pentadbirn. Pada tahun 1990 setelah hampir setahun SMSD tidak berpengetua,Encik Shueed bin Ismail telah di hantar untuk memegang jawatan ini. Beliau merupakan seorang pengetua yang berwawasan tinggi. Selain menitikberatkan kemajuan dalam bidang kurikulum, beliau menekankan aspek budaya dan iklim sekolah. Bagi beliau faktor budaya dan iklim sekolah memainkan peranan yang penting dalam menyediakan pangajaran dan pembelajaran yang ideal. SMSD semakin terserlah wajah dan senario di bawah kepimpinan beliau.
Pada bulan Mac 1991 En. Shueed bin Ismail bertukar ke JPN untuk menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah (Bahasa Sekolah Rendah). Tempat beliau telah diganti oleh Tuan Haji Mohamad bin Alias. Beliau berpegang pada prinsip
“ perancangan yang mantap akan menjaminkan keberkesanan dan kejayaan sesuatu aktiviti atau projek hendak dijalankan” Beliau juga merupakan ahli fikir yang sentiasa memberi ilham dan idea baru untuk meningkatkan prestasi sekolah dalam bidang akademik. Buktinya pada tahun 1991, seramai 20 orang pelajar mendapat gred pertama dalam SPM dan pada tahun berikutnya jumlah meningkat kepada 27 orang (kejayaan ini berpunca dari perancangan beliau yang mantap) serta sokongan daripada guru – guru yang berdedikasi. Berganding bahu dengan beliau ialah Puan Siti Ajar bt Man yang merupakan pentadbir yang sangat peka terhadap sebarang perubahan atau perkembangan yang berlaku di sekolah. Beliau telah banyak menyumbang idea- idea yang bernas untuk meningkatkan prestasi pelajar dan mutu kerja guru. Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Ustaz Umar bin Aziz juga telah berjaya meningkatkan disiplin murid ke tahap yang dibanggakan di samping mengambil berat tentang semua aspek kebajikan pelajar. Di bawah pimpinan Encik Zainul Abidin Mukhtar selaku penolong kanan kokurikulum peningkatan yang ketara dapat dilihat dalam pasukan unit beruniform, sukan dan permainan. Contohnya, pasukan bola jaring, bola sepak, sepak takraw,tea kwan do telah bertahan hingga ke peringkat negeri. Encik Md.Yusof bin Said dilantik sebagai Penyelia Petang apabila SMSD dibahagikan kepada dua sesi bagi menampung pertambahan pelajar dari setahun ke setahun. Beliau telah berjaya meletakkan pelajar atas landasan disiplin yang baik. Di bawah ketokohan dan kepakaran pemimpin – pemimpin ini SMSD berkembang dengan pesat dan berjaya menyaingi sekolah – sekolah yang telah mencipta nama dalam senarai sekolah yang berjaya di Pulau Pinang.
SMSD kemudian telah diterajui oleh En. Darus bin Omar mulai 01 Oktober 1993 sehingga 15 November 1995. Kemudian diganti pula oleh Pn. Jauharah binti Tak mulai 16 November 1995 sehingga 20 Februari 1997. Selepas pucuk pimpinan atasan melakukan perpindahan kepada Pn. Jauharah, SMSD sekali lagi menerima pimpinan baru iaitu Pn. Meriah binti Suhaimi . Pn. Meriah Binti Suhaimi hanya diberi kesempatan untuk berkhidmat selama 4 bulan setengah sahaja iaitu mulai 01 Mac 1997 sehingga 15 Julai 1997.
 Pertukaran nama sekolah telah dirancang dengan begitu teliti di bawah pentadbiran Pn. Hajjah Rodziah binti Mohamed. Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Dua telah bertukar nama yang baru iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Said pada tahun 1999. Nama ini dipilih untuk memperingati khidmat bakti Allahyarham Datuk Haji Ahmad Said yang merupakan anak tempatan kepada Kampung Sungai Dua. Beliau adalah Ahli Dewan Rakyat Kawasan Seberang Perai Utara yang pertama iaitu semenjak tahun 1959 sehingga 1974 yang juga merupakan Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang pada masa tersebut.
Pn. Hajjah Rodziah binti Mohamed telah menamatkan perkhidmatan beliau sebagai pengetua pada bulan Disember 2002.
Pengetua seterusnya ialah Pn. Siti Ajar bt Man. Beliau mula memegang jawatan pengetua pada tahun 16 April 2004 sehingga 16 Jun 2007.
Antaranya ungkapan yang sering diucapkan oleh Puan Siti Ajar ialah
Be a first class student with a world class mentality “
dan kepada guru-guru pula ialah,
“Rempah ratus yang sama (biasa) jika digunakan oleh tangan tukang masak yang hebat, masakan akan jadi hebat!!”
Pn. Siti Ajar merupakan seorang pengetua yang amat berwibawa. Sepanjang perkhidmatan beliau di sini banyak perubahan yang telah dilakukan . Beliau merupakan seorang pengetua yang begitu cekap dalam segala bidang . Sekolah telah menjadi bersih dan ceria dengan kedatangan beliau. Beliau amat tegas dalam era pentadbiran. Ketagasan dan kebijaksanaan beliau telah menjadikan SMK Datuk Haji Ahmad Said sebagai salah sebuah sekolah yang mantap dari segi pengurusan. Namun setelah beliau dinaikkan pangkat, beliau telah ditukarkan ke sekolah yang lain.
Pengetua seterusnya ialah Encik Noor Azmi Bin Mohamad Jan. Beliau mula memegang jawatan tersebut mulai Jun 2007 hingga 16 Januari 2009
Prinsip yang dipegang oleh beliau ialah
”Berkhidmat secara berhikmah dan amalkan budaya berhemah”. Beliau telah menerapkan nilai-nilai murni yang perlu diamalkan oleh setiap guru dan seluruh warga sekolah. Beliau sering berkongsi cerita dan pengalaman guru sebagai panduan kepada guru-guru. Banyak bacaan yang disediakan untuk santapan rohani para guru. Beliau merupakan seorang pengetua yang berdedikasi. Baliau mengharapkan biarlah beliau datang ke sekolah dengan baik dan keluar dari sekolah juga dalam keadaan yang baik. Beliau tidak mahu mencari masalah dengan sesiapa.
Mulai 16 Januari 2009, beliau telah dinaikkan pangkat dan ditukarkan ke sekolah yang lebih besar. Mulai 16 Januari 2009 sehingga 16 Julai 2009 sekali lagi SMKDHAS tidak mempunyai nakhoda.Namun begitu, mulai Jun 2009, pihak JPN telah menghantar seorang ustaz untuk menerajui SMKDHAS. Beliau ialah Tn. Hj. Md. Radzi Bin Bahari. Tn Hj. Md. Radzi merupakan seorang pengetua yang mempunyai banyak pengalaman di SMK (A). Pengalaman beliau amat berguna bagi menguruskan soal keagamaan para pelajar di SMKDHAS yang majoriti beragama Islam. Penekanan Tn. Hj. Md. Radzi ke arah pencapaian yang lebih menyeluruh.
Kemudian mulai Januari 2011, SMKDHAS bertukar pemimpin sekali lagi . SMKDHAS kini diterajui oleh Pn. Hajah Norizan binti Othman, seorang pengetua yang baru dilantik. Beliau sebelum ini telah berkhidmat sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di SMK Permatang Pasir. Walaupun baru dilantik sebagai pengetua, tetapi beliau mampu mentadbir dan memimpin sekolah dengan jayanya. Beliau merupakan seorang pengetua yang mempunyai pengalaman yang banyak dalam memimpin sekolah ke arah kecemerlangan. Beliau sedang berusaha memimpin sekolah ke arah pencapaian visi sekolah yang baru iaitu SMK Datuk Haji Ahmad Said Ke arah Kecemerlangan 2015. Harapan beliau, SMKDHAS akan menjadi salah sebuah sekolah yang berjaya melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga cemerlang dalam kokurikulum dan mampu mempamerkan sahsiah yang cemerlang


No comments:

Post a Comment